Di dalam teori ekonomi, semua perkara dilihat dari sudut nilai ekonominya. Nilai ini juga yang menarik kecenderungan kita untuk membuat keputusan dan kesanggupan membayar harganya manakala perkara lain dilepaskan kerana kekurangan kelebihan berbanding pilihan yang dibuat. Begitu juga berlaku dalam keputusan kita menggunakan khidmat pekerja asing yang tidak mahir. Keputusan ini telah menyebabkan kita membayar harga yang tinggi.
Kemasukan pekerja asing tidak mahir ke Malaysia bukan lagi perkara yang boleh dipandang remeh. Dilaporkan di dalam pembentangan menjawab persoalan di Parlimen baru-baru ini, bilangan pekerja asing yang sah menjangkau 1.8 juta orang (jumlah diberikan setakat 31/03/2006 oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri ketika menjawab persoalan Puan Teresa Kok Suh Sim). Manakala jumlah pendatang asing tidak sah pula tidak dapat dikenalpasti. Keadaan ini adalah ekoran dari banyaknya peluang penyelewengan yang terbuka dalam isu pendatang asing. Kebergantungan kepada tenaga asing yang tidak mahir dan aturan ekonomi berasaskan sumber manusia yang tidak bermutu akan menjejaskan nilai ekonomi itu sendiri.

Jelas kepada kita bahawa lambakan pekerja asing tidak terlatih sebenarnya menjurus kepada permasalahan dan bahaya yang tidak dijangka kepada persaingan ekonomi. Kecenderungan menggunakan pekerja yang murah bagi mengurangkan kos operasi membantutkan peluang rekayasa dan pembangunan teknologi kerana tindakan ini telah menyekat permintaan terhadap pekerja mahir dan pakar dari bersaing seiring dengan perkembangan ekonomi. Ekonomi menjadi cenderung kepada penggunaan buruh mengakibatkan permintaan terhadap pekerja mahir makin berkurangan. Perkara ini juga merupakan salah satu punca yang menyumbang kepada peningkatan pengangguran di kalangan siswazah atau berpendidikan berlaku.

Sesetengah berpandangan iklim ini menguntungkan, namun ianya hanya untuk jangkamasa pendek sahaja. Kebergantungan kepada pekerja asing yang tidak mahir akan memberi beban kepada pasaran kerana tumpulnya keupayaan bersaing ekonomi Malaysia. Pengabaian kepada kepentingan ilmu pengetahuan akan mengganjak pemikiran masyarakat supaya mengurangkan penekanan ke arah pembangunan fikrah baru. Tambahan pula dengan kemungkinan tekanan kesatuan sekerja dan politik antarabangsa, lama kelamaan Malaysia tidak berupaya lagi menafikan penglibatan buruh asing tidak mahir dalam aturan ekonominya. Apabila bidang perusahaan dan kegiatan ekonomi tiada peluang untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing, perkembangan ekonomi akan tersekat di dalam pusingan tidak produktif dan mengabaikan persaingan pasaran.

Tumpuan kerajaan kepada pembangunan sesuatu bidang seperti pembinaan, perladangan dan pertanian yang berasaskan buruh tidak mahir akan meningkatkan permintaannya dan desakan untuk perkembangan teknologi akan terjejas. Keseimbangan ekonomi tidak berlaku begitu sahaja tanpa perancangan. Sekiranya gunatenaga sudah tidak seimbang, bagaimana hasrat susunan ekonomi yang seimbang boleh tercapai.

Jika dibandingkan dengan negara-negara lain, jelas kepada kita bahawa Malaysia mempunyai persekitaran yang tersendiri. Kita tidak boleh menggunakan pendekatan negara lain untuk digunapakai di negara kita dan tidak pula boleh menolak semua pendekatan negara lain. Negara-negara berasaskan buruh seperti China dan India mempunyai kependudukan yang tinggi yang menyebabkan tumpuan gunatenaga cenderung kepada asas buruh kerana secara dasarnya penawaran tenaga buruh dari dalam negara sendiri ini murah. Oleh sebab itu, China berupaya mengeluarkan barangan yang jauh lebih murah ke dalam pasaran. Malaysia memang sudah tidak mampu berada sebaris dengan negara-negara ini kerana kedudukan dan persekitarannya telah meningkat.

Malaysia telah melangkah satu langkah ke hadapan dengan penekanan kepada cetusan fikrah baru dalam teknologi setelah melalui zaman ekonomi berasaskan buruh. Sudah tiba masanya Malaysia perlu secara berperingkat-peringkat mengalihkan asas penggerak ekonomi. Sekiranya pergantungan kepada buruh tidak mahir dikekalkan, perkembangan teknologi akan terbantut, permintaan kepada mesin dan jentera tidak berkembang, syarikat-syarikat yang terlibat tidak dapat menawarkan barangan mereka, berlaku ketidakseimbangan penawaran teknologi dan permintaan akhirnya membunuh pasaran teknologi itu sendiri. Usaha-usaha penyelidikan dan pembangunan tidak akan mendapat tempat kerana tiada kepentingannya.

Apa yang sering dijadikan alasan untuk menggunakan pekerja asing ialah sikap pekerja tempatan. Sikap pekerja tempatan yang enggan melakukan kerja-kerja kasar dan lasak atau tidak ada kelas merupakan permulaan kepada tindakan atau tekanan untuk mencetuskan buah fikiran baru dalam pembangunan tekonologi. Sekiranya terdapat bidang yang tiada tekanan sebegini serta mudah beralih kepada tenaga pekerja asing tidak mahir, suasana ekonomi akan mengundur ke belakang dan akan ketinggalan.
Pada lazimnya, pengusaha yang meningkat matang dalam sesuatu perusahaan akan mencari jalan penyelesaian terbaik dengan menggunakan gabungan kemahiran dan peluang untuk memajukan perniagaan mereka. Apabila mereka disogokkan dengan kemudahan menggunakan tenaga pekerja asing, usaha untuk menggalakan penemuan baru dalam teknologi akan melebur.

Apa yang penting bukan bilangan tetapi mutu tenaga kerja yang diharapkan. Malaysia menerima berjuta pekerja asing tidak mahir manakala dalam masa yang sama usaha memiliki atau mengembalikan pekerja mahir dan professional milik negara seperti 'brain gain' dilihat kurang berkesan. Akhirnya pendekatan untuk memindahkan teknologi kebocoran keluar dan yang mengalir masuk pula adalah buruh asing yang lebih membarahkan penyakit sosial.

Laporan berhubung gejala sosial dan jenayah dalam masyarakat di kalangan pekerja asing amat ditakuti mengancam kehidupan dan tata susila masyarakat Malaysia. Peningkatan kes-kes jenayah seperti pembunuhan, kecurian dan pergaduhan di kalangan pendatang asing amat merisaukan. Begitu juga dengan menularnya penyakit yang berbahaya seperti Batuk Kering ekoran dari penghijrahan mereka yang gagal dikesan atau terbolos dari saringan kesihatan. Pengurusan pendatang asing di Malaysia boleh berada di luar kawalan sekiranya asas dan aturan sedia ada tidak dirombak semula.

Arahatur dan pengurusan pekerja asing Malaysia perlukan pola baru yang lebih tersusun dan sesuai dengan peredaran ekonomi semasa. Ketetapan yang dibuat perlu lebih cenderung kepada menggalakkan penghijrahan tenaga asing yang mahir, mempunyai keupayaan melabur yang tinggi dan boleh menyumbang kepada pembangunan ekonomi untuk jangka masa panjang. Malaysia sedar malah di kalangan penasihat ekonomi sendiri mengakui bahawa Malaysia telah 'mengimport' masuk pekerja murah serta tidak mahir dan 'mengeksport' pekerja mahir dan pakar keluar. Tawaran dan faedah yang disediakan oleh negara lain terutamanya negara maju terhadap tenaga mahir dan pakar rakyat Malaysia ternyata lebih tinggi dan menarik. Bayangkan gambaran kesan dan kebaikan ke atas ekonomi Malaysia sekiranya kita tukarkan 1.8 juta pekerja asing tidak mahir dengan 1.8 juta pekerja asing yang mahir dan pakar seperti pengurusan syarikat dalam bidang kenderaan dan jentera, jurutera, tabib, pelabur, juruteknik, professor, saintis, pereka bentuk dan gaya terkemuka dan sebagainya.

Di dalam Rancangan Malaysia ke-9, susunan keutamaan dari sudut perlaksanaan hendaklah seiring dengan Misi Nasional mengikut teras yang telah digariskan. Negara perlu mengutamakan usaha meningkatkan nilai tambah dalam ekonomi berbanding agenda sampingan. Dasar-dasar kementerian atau jentera kerajaan juga perlu diselaraskan supaya seiring dengan Misi Nasional termasuklah dasar gunatenaga negara.
Rangka ekonomi Malaysia perlu diperbaiki supaya tidak terlalu bergantung kepada pekerja asing tidak mahir yang jelas merentap keupayaan daya saing dalam jangkamasa panjang. Itulah sebenarnya harga perkhidmatan pekerja asing yang kita perlu bayar. Aturan sumber manusia yang menjadi teras pembangunan ekonomi menyeluruh perlu dinilai semula supaya sesuai dengan cabaran semasa. Tanpa pembaharuan dan leka dengan kelangsungan pembangunan yang tidak seimbang, Malaysia akan ketinggalan jauh dan dipandang remeh oleh negara serantau.


This entry was posted on 9:02 AM and is filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

1 comments:

    Anonymous said...

    jika kerajaan dapat atasi masalah ni..takkan jgak akan selesai jikalau rakyat mlysia sndri tidak mngambil berat dalam hal ni..rakyat kita memilih dalam pkerjaan,malas n sbgainyer.bg saya kedua2 pihak kne mainkan peranan..MALAYSIA BOLEH!!!!

  1. ... on February 5, 2009 at 9:21 AM